Friday, December 31, 2010

Sangkar kehidupan

    Pernahkah kita memerhatikan gelagat burung di dalam sangkar? burung yang sifatnya hidup bebas apabila dikurung di dalam sangkar kelihatan seperti meronta-ronta supaya dibebaskan. kehidupan yang merdeka ialah anugerah yang amat berharga kepada setiap makhluk lebih-lebih lagi yang bernama manusia. Tiada satupun makhluk yang bernyawa secara fitrahnya sukakan dirinya terkurung apatah lagi diperlakukan seperti hamba abdi. Makhluk yang hidup, apabila diperangkap atau dikurung akan berusaha untuk membebaskan diri dengan sedaya upayanya.

Ini berlaku kerana kehidupan yang sebenar adalah kehidupan yang bebas bukannya kehidupan di dalam sangkar ataupun terbelenggu. Apakah erti kehidupan jika terkurung tanpa kebebasan seperti binatang yang dikurung, walaupun diberi makan percuma namun menunggu masa untuk disembelih dan dimakan sahaja.

Bagaimana pula dengan kita sebagai manusia? Adakah kita benar-benar menikmati kebebasan dalam hidup ini atau masih banyak perkara yang membelenggu kita?. Pada zahirnya kita kita tidak terpenjara tetapi tidak mustahil masih ramai yang terpenjara jiwanya oleh jiwa yang lain atau terbelenggu oleh dirinya sendiri.

Terdapat doa yang dialjar oleh Rasulullah s.w.t kepada kita yang bermaksud "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada keluh kesah dan kesedihan, dan aku berlindung kepadaMu daripada rasa lemah diri dan kemalasan, dan aku berlindung kepadaMu daripada sifat pengecut dan kebakhilan dan aku berlindung kepadaMu daripada cengkaman hutang dan penindasan orang". Nah, inilah sebenarnya sangkar yang membelenggu diri kita tanpa kita sedari. Dan jadilah kita manusia yang tidak bebas sebagai hamba Allah s.w.t.

Oleh itu, bebaskanlah diri kita daripada belenggu perasaan sedih, sayu, pilu, resah dan seumpamanya. bangunkan jiwa yang positif. kawallah perasaan negatif yang merosakkan diri dan jiwa kita. Melayan perasaan yang negatif hanya akan membawa kerosakan kepada diri kita sahaja. Oleh itu mohonlah kepada Allah supaya anugerahkan kekuatan jiwa dan berupaya mengawal emosi dan kehidupan ini. Manusia yang terpenjara lazimnya membiarkan dirinya dibelenggu oleh sifat lemah dan malas. malas dan lemah sebenarnya  merupakan dua pembunuh senyap yang mematikan potensi dan nilai diri seseorang. Orang yang kuat fizikal sihat tubuh, sihat panca indera tetapi lemah jiwa dan malas sifatnya pasti akan tewas dalam perjuangan hidup.

Lagi sifat yang memerangkap kita ialah pengecut, bakhil, berhutang dan penindasan orang lain. Didiklah diri dengan sifat mahmudah iaitu berani dan pemurah. Seterusnya membebaskan diri kita daripada hutang dan cengkaman orang lain. Akhirnya yang paling utama ialah kemerdekaan jiwa yang sebenar sebagai hamba Allah s.w.t ialah apabila kita bebas daripada belenggu kuffur dan kesesatan. kehidupan akan menjadi lebih sempurna dan bahagia apabila kita kembali kepada sistem yang telah ditetapkan oleh Allah dan membebaskan diri daripada sistem ciptaan manusia..Wallahua'lam.